Monday, 11 August 2014

Zikir, Memuji Tuhan Dalam Kelembutan

Zikrullah
                                      Gambar ihsan


Akhir-akhir ini, model berzikir yang dibaca dengan pelbagai bentuk semakin berkembang dalam kalangan orang ramai. Bahkan sejumlah besar kaum Muslimin berkumpul hanya dengan melantun zikir secara massal. Ada yang bermotifkan pengubatan secara kolektif, ada juga yang semata-mata mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui zikir dan tangisan.

Tidak dapat disangkal bahawa acara-acara itu kebanyakannya dilakukan oleh sebahagian masyarakat Melayu. Uniknya kerana atur caranya yang tersusun indah. Majlis ini menarik perhatian ramai orang termasuk dalam kalangan pihak legislatif. Pelbagai bentuk buku panduan majlis berzikir diterbitkan dengan mendapat sokongan golongan yang bergelar “ustaz” sehingga acara itu berjaya dinasionalkan dan semakin semarak dari sehari ke sehari.

Tidak dinafikan berzikir itu adalah ibadah terbaik yang diperintahkan dalam syariat seperti yang tersebut dalam firman Allah SWT:

“Hai orang-orang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Al-Ahzab 33: 41-42)

Namun setiap kali berzikir kepada Allah SWT, seseorang selalu menjaga batas-batas ajaran syariat berdasarkan nas-nasnya dan petunjuk Nabi Muhammad SAW, amalan para sahabat baginda dan para ulama yang mengikuti peri kehidupan mereka secara baik hingga hari pembalasan. Berdasarkan sunnah, amalan ini merupakan syarat sahnya suatu amalan diterima di sisi Allah SWT seperti yang diungkapkan dalam sabda Nabi Muhammad SAW:

“Barang siapa yang membuat-buat suatu amalan dalam agama kita ini, maka amalannya tersebut tertolak” (Hadis Riwayat Muslim)

Zikir tergolong dalam kategori ibadah khusus seperti halnya solat, puasa dan yang lainnya sehingga harus dilakukan menurut tatacara dan ketentuan yang ada di dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul. Baik itu berkaitan dengan lafaz zikir, jumlah ataupun bilangan zikir, tempat dan waktu berzikir, mahupun cara melantunkannya; dengan suara keras atau perlahan, sendirian atau berjemaah.

Budaya berzikir massal tiada tuntutannya dalam Al-Quran dan hadis. Budaya ini muncul apabila surat arahan yang ditulis oleh Ishaq bin Ibrahim, Gabenor Baghdad ketika itu memerintahkan masyarakat Muslimin melakukan takbir (berjemaah) setiap kali selesai menjalankan solat wajib lima waktu. Mereka memulainya di Masjid Madinah dan Rashaafah pada hari Jumaat selama 14 hari terakhir bulan Ramadan mulai tahun itu juga. Perkara ini juga diceritakan di dalam buku Tarikh Ibni Kathsir.

Trend tersebut terus berkembang di kalangan kaum Syiah Rafidhah dan Sufi serta golongan yang terpengaruh ajaran mereka. Mengenai zikir massal ini, banyak ulama, antaranya, Imam Alaauddien Al-Kasaani al-Hanafi dalam bukunya, Bada-l’ush Shanna-ie’Fie Tartiebisy Syaraa-ie’ dari Abu Hanifah r.a. menyatakan , “Mengucapkan takbir dengan suara keras pada asalnya adalah bidaah kerana takbir adalah zikir. Sunnahnya, zikir diucapkan dengan suara lembut.”
Allah SWT berfirman

“…Berdoalah kepada Rab dengan rendah hati dan suara yang lembut…” (Al-A’raaf 7:55)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Doa yang terbaik yang diucapkan dengan suara lembut.”

Imam Nawawi dalam Al-Majmuu mencatatkan komentar,“Imam Syafi’e berserta para sahabat r.a. sepakat atas disunnahkan zikir setiap selesai solat. Hal itu disunnahkan bagi seorang imam, makmum, sendirian, lelaki, perempuan, orang musafir dan lainnya…” Dalam Syarah Muslim,

”Sabda Rasulullah SAW kepada orang-orang ketika mereka mentakbir dengan suara keras, “Wahai manusia, bersikap tenang. Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Zat yang tuli dan tidak ada. Sesungguhnya kalian berdoa kepada Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Maknanya, hendaklah kalian bersikap tenang, dalam berzikir dan merendahkan suara-suara kalian kerana mengeraskan suara hanyalah dilakukan oleh orang yang jaraknya jauh agar supaya orang itu dapat mendengarnya. Sedangkan kalian berdoa kepada Allah SWT dan Allah bukanlah Zat yang tui dan tidak ada. Dia adalah Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia bersama kalian dengan ilmu-Nya dan ilmu-Nya meliputi segala sesuatu.”

Hadis ini mengandungi anjuran untuk merendahkan suara kerana ketika seseorang merendahkan suaranya, maka itu lebih utama dalam memuliakan Allah SWT dan mengagungkan-Nya.


Namun sayangnya, kebanyakan masyarakat kaum Muslimin lebih cenderung mengamalkan Islam berdasarkan adat budaya nenek moyang mereka termasuklah berzikir. Oleh sebab itulah budaya berzikir massal itu dianggap oleh mereka sah sahaja kerana masih merupakan kebiasaan orang tua mereka. Oleh yang demikian, kaum Muslimin diingatkan agar pelaksanaannya atau meskipun dibuat dengan menarik dan memikat.

Oleh: Mohd Salahuddin bin Mohamad Rani

0 comments:

Post a Comment