Sunday, 10 August 2014

SALAM : Pengucapan dan Penghayatan

Salam sejahtera
Ucapan salam amat mudah disebut, tetapi tidak ramai yang memahami maksud dan tujuan serta kelebihannya. Oleh itu, tidak ramai yang berminat untuk mengucapkannya, malahan berlaku kesilapan ketika mengucapkannya. Salam beerti selamat atau sejahtera. Dari segi memuliakan atau menghormati sesama Islam.

Ucapkan salam apabila bertemu sesama Islam dan dilarang sama sekali untuk memeberi salam kepada orang-orang bukan Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“ Janganlah kamu memulakan dengan ucapan salam kepada orang-orang Yahudi dan juga orang-orang Nasrani.” (Hadis diriwayatkan oleh Muslim,Ahmad,Abu Daud dan At-Tarmizi daripada Abu Hurairah)

Ucapan salam hanya dikhususkan sesama Islam kerana masyarakat lain mempunyai cara tersendiri untuk menghormati sesama mereka. Orang Kristian (Nasrani) sebagai contoh, menghormati dengan cara meletakkan tangan di atas mulut. Orang Yahudi pula memberikan isyarat dengan menggoyang-goyangkan jejari tangannya, manakala masyarakat Majusi pula menundukkan kepala. Cara penghormatan dalam kalangan masyarakat jahiliah adalah dengan menyebut “Semoga Tuhan menghidupkan kamu.”

Ucapan salam yang sebenarnya adalah seperti yang disebut di dalam Kitab Tafsir An-Naisaburi iaitu tanpa perlu menokok tambah sesuatu yang lain daripadanya. Di dalam Kitab Majmuk pula, ucapan salam yang paling sempurna adalah seperti yang disyariatkan dalam bacaan tahiyat. Alas an ini diguna pakai oleh pihak yang berpendapat bahawa menjadi kesalahan dari segi sebutan bahkan dari segi hokum jika ditambah dengan kalimah.

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa memberikan salam adalah sunat tetapi menjawabnya wajib, berpandukan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami daripada Abdullah bin Asy-Syukhair yang bermaksud:

“Ucap salam itu adalah sunat, manakala menjawabnya adalah wajib.”

Oleh itu, memberikan salam adalah lebih baik daripada menjawab salam. Inilah satu-satunya dalam syariat Islam iaitu perkara yang dihukum sebagai sunat tetapi dianggap lebih baik daripada yang wajib. Oleh itu, kita digalakkan supaya mendahulukan ucapan salam.

Salam boleh diucapkan pada bila-bila masa dan tanpa mengira tempat. Cuma dalam keadaan tertentu, ucapan salam digalakkan ketika bertemu sesame Islam sama ada dikenali ataupun tidak, lebih-lebih lagi orang itu adalah musuhnya. Nabi bersabda dalam senuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umru yang bermaksud:

“ Ucaplah salam kepada orang yang kamu kenali dan juga orang yang kamu tidak kenali.”

Ucapkan salam ketika hendak memulakan kuliah agama, ceramah, tazkirah, ucapann dan seumpamanya. Dahulukan ucapan salam sebelum mengemukakan soalan kepada orang tertentu. Sabda Nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibni An-Najjar daripada Ummar yang bermaksud:

“ Salam sebelum bertanya, barang siapa mengemukakan soalan tanpa terlebih dahulu memberi salam maka soalannya tidak perlu dijawab.”

Apabila kita bertandang ke rumah orang, jangan sesekali masuk tanpa memberikan salam sebagai tanda meminta izin. Jika salam dijawab, bererti tuan rumah mengizinkan kita masuk ke dalam rumahnya. Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 27 bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu melainkan setelah kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya ...”

Mengikut ulama, larangan ini adalah larangan tahrim, iaitu haram hukumnya jika memasuki rumah orang tanpa mendapatkan keizinan dan memberikan salam kepada tuannya. Sekiranya tiga kali memberikan salam tanpa mendapat sebarang jawapan, maka haram bagi kita memasuki rumah tersebut, bahkan wajib kita meninggalkan rumah itu. Begitu juga apabila kita kembali ke rumah sendiri dan setelah memasuki rumah, maka hendaklah kita memberikan salam.


Hukum menjawab salam adalah wajib. Oleh itu, ucapan salam hendaklah dijawab dengan cara lebih baik dan sempurna. Salam merupakan antara ucapan atau pertuturan yang kekal sehingga hari akhirat dan akan terus diucapkan oleh ahli syurga. Semoga pedoman ini menjadi renungan untuk kita menilai diri sendiri, khususnya dalam menyampaikan ucapan salam atau menjawab salam. 

Oleh: Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz

0 comments:

Post a Comment