Monday, 11 August 2014

Bentuk Sikap Mahu Menang

Sikap positif dalam bersukan
                                      Gambar ihsan

F. W. Dick dalam teori latihan dan atlet remaja berkata pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984, hamper 30 peratus atlet olahraga adalah berusia 20 tahun ke bawah. Dalam beberapa acara sukan, peratusan atlet di Sukan Olimpik kurang daripada 21 tahun adalah tinggi. Ini bererti, persediaan atlet untuk menghadapi kejohanan peringkat tinggi bermula ketika awal usia belasan lagi.

Anak-anak yang membesar mudah untuk diberi motivasi di peringkat usia awal dan atlet yang dianugerahkan bakat semula jadi dalam sukan-sukan tertentu, memiliki kelebihan ke atas pesaing yang lebih senior.

Situasi ini menimbulkan banyak persoalan peribadi dan etika social, mengundang kepada kritikan mengenai pengetahuan dan pengalaman jurulatih yang menguruskan atlet remaja.

Ia memerlukan kematangan luar biasa salam mentafsir perspektif dan menerima tanggungjawab melatih anak-anak yang membesar dengan hala tuju yang betul.

Untuk memburu kecemerlangan dalam sukan, individu yang amat penting ialah jurulatih yang mempunyai falsafah atau konsep atau pendekatan sendiri.

Falsafah ini terbentuk dalam tempoh yang panjang, bermula ketika era kerjaya sukannya, bertugas sebagai pembantu, menghadiri klinik latihan, kursus dan pengalaman peribadi sebagai jurulatih. Hanya dengan itu dia mampu membimbing dan memberi motivasi yang berkesan kepada atlet bimingannya.

Untuk memotivasikan atlet muda dengan berkesan, latihan untuk atlet ini mesti mempunyai pendekatan yang komprehensif dan berhemah.

Untuk memeulakan, kita perlu melakar program latihan yang berkesan untuk remaja. Hasil program itu, kita boleh mengenal pasti atet yang berbakat dan berkebolehan serta mempunyai keazaman untuk berlatih.

Bagi atlet ini, mudah untuk kita mewujudkan suasana motivasi. Tahap pencapaian akan tinggi dan kegagalan agak sedikit kerana mereka dibentuk  dan dilatih dengan semangat tidak mudah mengalah.

Kepada atlet yang sedikit tercicir, mereka perlu berlatih keras tapi belum pasti memperolehi pencapaian maksimum. Namun ia mampu melahirkan situasi yang bersemangat di samping membina sikap tidak mudah mengalah.

Semangat tidak mudah mengalah disertai dengan keazaman untuk berjaya boleh membina sikap positif mahu menang. Berbeza dengan atlet dalam golongan ‘pencapaian awal’ (early achievers) mungkin menimbulkan masalah kerana sikap ‘mahu menang’ boleh bertukar menjadi sikap ‘tidak mahu kalah’. Ia dua keadaan yang memberi kesan yang amat berbeza sekali pun jika diterjemahkan mempunyai destinasi yang sama – menang.

Situasi ini mungkin menjadi sebab kenapa ramai atlet Malaysia berakhir dengan pelbagai masalah dan alas an. Tiada jumlah motivasi mampu membantu kerana sistem yang mereka lalui, telah membolehkan mereka mencapai kejayaan awal dan apbila mereka berdepan situasi sebenar, mereka takut kalah – satu sikap yang negatif.

Atlet ini mungkin sangat berbakat tetapi penekanan dan pendedahan yang melampau kepada kejohanan peringkat tinggi, menyebabkan sikap tidak mahu mengalah, gagal dibentuk dan diserap ke dalam diri mereka.

Oleh : Zaiton Othman

0 comments:

Post a Comment