Mati otak ialah ungkapan yang
digunakan bagi menjelaskan keadaan seseorang yang seluruh otaknya tidak
berfungsi dan tidak akan pulih lagi. Dalam keadaan sedemikian, tiada lagi
perjalanan darah ke otak dan otak mulai reput. Pun begitu, jantung pesakit
masih berdenyut kerana disambung kepada alat banntuan pernafasan. Sekiranya
alat bantuan pernafasan itu dihentikan, pesakitv tidak boleh lagi bernafas dan
jantung akan berhenti buat selama-lamanya dalam beberapa minit. Dalam hubungan
ini, seseorang yang disahkan mati otak, keadaannya sama dengan mati sebagaimana
yang dibincangkan oleh beberapa kumpulan penyelidik dari Perancis.
Dalam pada itu, tulisan Datuk Dr.
Mohd Rani Jusoh yang bertajuk Mati Otak:Konsensus
Pengamal Perubatan, melalui buku Sempadan
Bioteknologi Menurut Perspektif Islam terbitan Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), menjelaskan, pada tahun 1966, hasil resolusi yang diperolehi
melalui symposium di London, buat pertama kali menyatakan, dalam kes-kes cedera
kepala, pengesahan mati boleh dibuat dengan memeriksa system saraf sekali gus
merupakan satu langkah berani yang dibuat untuk pertama kalinya. Ini kerana
pengesahan mati tersebut dibuat dengan tidak menggunakan cara asal, iaitu berdasarkan
fungsi jantung dan pernafasan. Justeru, atas kekuatan rumusan tersebut,
pemindahan jantung pertama dilakukan di Afrika Selatan pada tahun 1967 oleh Dr.
C. Barnard.
Sementara itu, pakar-pakar
perundangan Islam buat pertama kalinya membincangkan konsep mati otak di
Persidangan Antarabangsa di Jeddah pada tahun 1985. Bagaimanapun tiada
keputusan dibuat sehinggalah berlangsungnya persidangan di Amman, Jordan pada 1
Oktober 1986. Melalui persidangan tersebut, resolusi berkaitan mati otak
dikeluarkan iaitu; seseorang disahkan mati dansegala urusan berkaitan dengan
kehendak Islam perlu dilaksanakan apabila salah satu daripada dua perkara
berikut berlaku:
1. Apabila jantung serta pernafasan
berhenti dan disahkan oleh doktor bahawa ia tidak dapat dipulihkan.
2. Apabila semua fungsi otak telah
berhenti, dan doctor yang mahir mengesahkan bahawa ia tidak dapat dipulihkan
dan otak telah mula hancur. Dalam keadaan tersebut, mesin pernafasan boleh dimatikan walaupun organ lain misalnya jantung masih berfungsi.
Manakala Persidangan Akademi Fiqh
Islam ke-19 pada 17 Oktober 1987 mengeluarkan resolusi iaitu, “Jika pesakit
dipasangkan kepadanya mesin pernafasan telah dipastikan oleh tiga doctor pakar
bahawa otaknya telah mati, dan tidak mungkin kembali berfungsi lagi, maka
bolehlah mesin itu dimatikan, walaupun jantungnya dan pernafasannya masih
berfungsi dengan kuasa mesin yang dipasang itu.”
Secara ringkasnya seseorang itu dikenal pasti sebagai mati otak adalah bersandarkan kepada beberapa perkara
iaitu:
1. Berada di dalam koma yang tidak boleh dipulihkan.
2. Koma itu telah dikenal pasti
disebabkan oleh kerosakan otak yang teruk, dan tidak boleh dipulihkan.
3. Tidak bernafas sendiri, tetapi
diberi bantuan pernafasan (ventilator)
5. Semua rawatan sesuai telah pun
diberikan.
Tidak ada perkara sampinga yang
berlaku mungkin menganggu fungsi otak buat sementara waktu seperti;
1. Penggunaan ubat sedatif
2. Koma metabolic/endokrin akibat paras
gula yang terlalu tinggi atau rendah di dalam darah (diabetic coma)
3. Koma kerana hiportemia (suhu rendah)
4. Koma kerana dipatuk ular
5. Sindrom
Gulllain Barre
Manakala bagi mengesahkan
seseorang itu telah meninggal dunia, beberapa ujian terlebih dahulu dibuat oleh
pakar perubatan. Di anara ciri-ciri seseorang itu telah meninggal dunia ialah:
1. Tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan pernafasan
(ventilator)
2. Anak mata tidak memberikan sebarang tindak balas kepada
cahaya
3. Tiada tindak balas kepada batang otak (brainstem reflex)
4. Ujian juga akan menunjukkan tiada pengedaran darah ke
otak.
Oleh: Nor Shamsinor Baharin

0 comments:
Post a Comment