Monday 11 August 2014

Zikir, Memuji Tuhan Dalam Kelembutan

Zikrullah
                                      Gambar ihsan


Akhir-akhir ini, model berzikir yang dibaca dengan pelbagai bentuk semakin berkembang dalam kalangan orang ramai. Bahkan sejumlah besar kaum Muslimin berkumpul hanya dengan melantun zikir secara massal. Ada yang bermotifkan pengubatan secara kolektif, ada juga yang semata-mata mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui zikir dan tangisan.

Tidak dapat disangkal bahawa acara-acara itu kebanyakannya dilakukan oleh sebahagian masyarakat Melayu. Uniknya kerana atur caranya yang tersusun indah. Majlis ini menarik perhatian ramai orang termasuk dalam kalangan pihak legislatif. Pelbagai bentuk buku panduan majlis berzikir diterbitkan dengan mendapat sokongan golongan yang bergelar “ustaz” sehingga acara itu berjaya dinasionalkan dan semakin semarak dari sehari ke sehari.

Tidak dinafikan berzikir itu adalah ibadah terbaik yang diperintahkan dalam syariat seperti yang tersebut dalam firman Allah SWT:

“Hai orang-orang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.” (Al-Ahzab 33: 41-42)

Namun setiap kali berzikir kepada Allah SWT, seseorang selalu menjaga batas-batas ajaran syariat berdasarkan nas-nasnya dan petunjuk Nabi Muhammad SAW, amalan para sahabat baginda dan para ulama yang mengikuti peri kehidupan mereka secara baik hingga hari pembalasan. Berdasarkan sunnah, amalan ini merupakan syarat sahnya suatu amalan diterima di sisi Allah SWT seperti yang diungkapkan dalam sabda Nabi Muhammad SAW:

“Barang siapa yang membuat-buat suatu amalan dalam agama kita ini, maka amalannya tersebut tertolak” (Hadis Riwayat Muslim)

Zikir tergolong dalam kategori ibadah khusus seperti halnya solat, puasa dan yang lainnya sehingga harus dilakukan menurut tatacara dan ketentuan yang ada di dalam Kitabullah dan Sunnah Rasul. Baik itu berkaitan dengan lafaz zikir, jumlah ataupun bilangan zikir, tempat dan waktu berzikir, mahupun cara melantunkannya; dengan suara keras atau perlahan, sendirian atau berjemaah.

Budaya berzikir massal tiada tuntutannya dalam Al-Quran dan hadis. Budaya ini muncul apabila surat arahan yang ditulis oleh Ishaq bin Ibrahim, Gabenor Baghdad ketika itu memerintahkan masyarakat Muslimin melakukan takbir (berjemaah) setiap kali selesai menjalankan solat wajib lima waktu. Mereka memulainya di Masjid Madinah dan Rashaafah pada hari Jumaat selama 14 hari terakhir bulan Ramadan mulai tahun itu juga. Perkara ini juga diceritakan di dalam buku Tarikh Ibni Kathsir.

Trend tersebut terus berkembang di kalangan kaum Syiah Rafidhah dan Sufi serta golongan yang terpengaruh ajaran mereka. Mengenai zikir massal ini, banyak ulama, antaranya, Imam Alaauddien Al-Kasaani al-Hanafi dalam bukunya, Bada-l’ush Shanna-ie’Fie Tartiebisy Syaraa-ie’ dari Abu Hanifah r.a. menyatakan , “Mengucapkan takbir dengan suara keras pada asalnya adalah bidaah kerana takbir adalah zikir. Sunnahnya, zikir diucapkan dengan suara lembut.”
Allah SWT berfirman

“…Berdoalah kepada Rab dengan rendah hati dan suara yang lembut…” (Al-A’raaf 7:55)

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Doa yang terbaik yang diucapkan dengan suara lembut.”

Imam Nawawi dalam Al-Majmuu mencatatkan komentar,“Imam Syafi’e berserta para sahabat r.a. sepakat atas disunnahkan zikir setiap selesai solat. Hal itu disunnahkan bagi seorang imam, makmum, sendirian, lelaki, perempuan, orang musafir dan lainnya…” Dalam Syarah Muslim,

”Sabda Rasulullah SAW kepada orang-orang ketika mereka mentakbir dengan suara keras, “Wahai manusia, bersikap tenang. Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Zat yang tuli dan tidak ada. Sesungguhnya kalian berdoa kepada Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Maknanya, hendaklah kalian bersikap tenang, dalam berzikir dan merendahkan suara-suara kalian kerana mengeraskan suara hanyalah dilakukan oleh orang yang jaraknya jauh agar supaya orang itu dapat mendengarnya. Sedangkan kalian berdoa kepada Allah SWT dan Allah bukanlah Zat yang tui dan tidak ada. Dia adalah Zat Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Dia bersama kalian dengan ilmu-Nya dan ilmu-Nya meliputi segala sesuatu.”

Hadis ini mengandungi anjuran untuk merendahkan suara kerana ketika seseorang merendahkan suaranya, maka itu lebih utama dalam memuliakan Allah SWT dan mengagungkan-Nya.


Namun sayangnya, kebanyakan masyarakat kaum Muslimin lebih cenderung mengamalkan Islam berdasarkan adat budaya nenek moyang mereka termasuklah berzikir. Oleh sebab itulah budaya berzikir massal itu dianggap oleh mereka sah sahaja kerana masih merupakan kebiasaan orang tua mereka. Oleh yang demikian, kaum Muslimin diingatkan agar pelaksanaannya atau meskipun dibuat dengan menarik dan memikat.

Oleh: Mohd Salahuddin bin Mohamad Rani

Bentuk Sikap Mahu Menang

Sikap positif dalam bersukan
                                      Gambar ihsan

F. W. Dick dalam teori latihan dan atlet remaja berkata pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984, hamper 30 peratus atlet olahraga adalah berusia 20 tahun ke bawah. Dalam beberapa acara sukan, peratusan atlet di Sukan Olimpik kurang daripada 21 tahun adalah tinggi. Ini bererti, persediaan atlet untuk menghadapi kejohanan peringkat tinggi bermula ketika awal usia belasan lagi.

Anak-anak yang membesar mudah untuk diberi motivasi di peringkat usia awal dan atlet yang dianugerahkan bakat semula jadi dalam sukan-sukan tertentu, memiliki kelebihan ke atas pesaing yang lebih senior.

Situasi ini menimbulkan banyak persoalan peribadi dan etika social, mengundang kepada kritikan mengenai pengetahuan dan pengalaman jurulatih yang menguruskan atlet remaja.

Ia memerlukan kematangan luar biasa salam mentafsir perspektif dan menerima tanggungjawab melatih anak-anak yang membesar dengan hala tuju yang betul.

Untuk memburu kecemerlangan dalam sukan, individu yang amat penting ialah jurulatih yang mempunyai falsafah atau konsep atau pendekatan sendiri.

Falsafah ini terbentuk dalam tempoh yang panjang, bermula ketika era kerjaya sukannya, bertugas sebagai pembantu, menghadiri klinik latihan, kursus dan pengalaman peribadi sebagai jurulatih. Hanya dengan itu dia mampu membimbing dan memberi motivasi yang berkesan kepada atlet bimingannya.

Untuk memotivasikan atlet muda dengan berkesan, latihan untuk atlet ini mesti mempunyai pendekatan yang komprehensif dan berhemah.

Untuk memeulakan, kita perlu melakar program latihan yang berkesan untuk remaja. Hasil program itu, kita boleh mengenal pasti atet yang berbakat dan berkebolehan serta mempunyai keazaman untuk berlatih.

Bagi atlet ini, mudah untuk kita mewujudkan suasana motivasi. Tahap pencapaian akan tinggi dan kegagalan agak sedikit kerana mereka dibentuk  dan dilatih dengan semangat tidak mudah mengalah.

Kepada atlet yang sedikit tercicir, mereka perlu berlatih keras tapi belum pasti memperolehi pencapaian maksimum. Namun ia mampu melahirkan situasi yang bersemangat di samping membina sikap tidak mudah mengalah.

Semangat tidak mudah mengalah disertai dengan keazaman untuk berjaya boleh membina sikap positif mahu menang. Berbeza dengan atlet dalam golongan ‘pencapaian awal’ (early achievers) mungkin menimbulkan masalah kerana sikap ‘mahu menang’ boleh bertukar menjadi sikap ‘tidak mahu kalah’. Ia dua keadaan yang memberi kesan yang amat berbeza sekali pun jika diterjemahkan mempunyai destinasi yang sama – menang.

Situasi ini mungkin menjadi sebab kenapa ramai atlet Malaysia berakhir dengan pelbagai masalah dan alas an. Tiada jumlah motivasi mampu membantu kerana sistem yang mereka lalui, telah membolehkan mereka mencapai kejayaan awal dan apbila mereka berdepan situasi sebenar, mereka takut kalah – satu sikap yang negatif.

Atlet ini mungkin sangat berbakat tetapi penekanan dan pendedahan yang melampau kepada kejohanan peringkat tinggi, menyebabkan sikap tidak mahu mengalah, gagal dibentuk dan diserap ke dalam diri mereka.

Oleh : Zaiton Othman

Tenun Pahang berpotensi di ketengahkan ke luar negara

Tenun Pahang Diraja


Tenun Pahang begitu sinonim dengan pakaian tradisional masyarakat Melayu seperti baju kurung, kebaya dan baju Melayu untuk lelaki.

Bagaimanapun, seiring dengan perubahan semasa, penggunaan Tenun Pahang semakin diperluaskan dengan penghasilan pelbagai produk kraftangan seperti beg tangan, kotak hadiah, bingkai gambar dan alas meja yang begitu unik.

Seperti mana intimnya songket dan batik dengan masyarakat Melayu, Tenun Pahang juga mendapat tempat sebagai pilihan busana untuk hari kebesaran dan keramaian.
Memandangkan kepada prestij Tenun Pahang, maka tidak hairanlah penggunaannya dapat diperluaskan kepada kaum lain.

Bagaimakah sejarah Tenun Pahang bermula? Kain Tenun Pahang merupakan kraftangan tertua di negeri Pahang selain perusahaan labu bekas air, terenang dan periuk daripada tanah liat di Kampung Pasir Durian, Kuala Tembeling.

Seorang penulis barat, Dr. W. Linehan dalam bukunya History of Pahang mencatatkan Tenun Pahang dipercayai berasal dari Riau atau Sulawesi (Tanah Bugis) Indonesia, yang dibawa ke Pahang sekitar abad ke-16 Masihi.

Catatan beliau menunjukkan, orang yang memperkenalkan kain dan mengasaskan Tenun Pahang ialah Tok Tuan Keraing Ali seorang pembesar Bugis yang bermastatutin di Kampung Mengkasar, Pekan pada tahun 1722.

Bagaimanapun, pada tahun 1942 perusahaan membuat kain tersebut diberhentikan sementara kerana keputusan bekalan bahan akibat perang dunia kedua.

Kemudiannya, ia telah disambung semula pada tahun 1948 dan diusahakan oleh M.J.T. Macann iaitu Pegawai Daerah Pekan ketika itu yang kemudiannya diteruskan oeh RIDA pada tahun 1963 sehingga sekarang.

Tenun Pahang kekal sebagai perusahaan tradisional kepada penduduk Pahang terutamnya di daerah Pekan. Pada mulanya, ia merupakan sejenis kain tenunan yang hanya bercorak jalur berdiri dan jalur melintang.

Terdapat sebanyak 27 corak dan empat muka kain tradisional antaranya Corak Anak Lebah, Tapak Catur, Batang Pinang, Dato Mahmud, Jalur Biasa, Mengiring, Bunga Cengkih, Bunting Padi, Biji Peria, Cindai, Pahang, Limar dan Tun Razak.

Tenun Pahang kemudiannya telah diangkat menjadi Seni Warisan Kraftangan Negeri Pahang sejak dua abad lalu dan diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua pada penghujung tahun 1960 sehinggalah tertubuhnya Pusat Tenun Pahang pertama di Pulau Keladi, Pekan.

Sejajar dengan perkembangan, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) juga telah menggariskan empat program strategi pelan pembangunan industri Tenun Pahang 1996-2000 dalam usaha menjadikan perusahaan tersebut sebagai industri kraf tekstil berorientasikan komersil yang maju dan berdaya saing.

Pelbagai usaha dijalankan, antaranya meningkatkan pemasaran, penggunaan dan pembangunan produk, kemahiran, produktiviti dan daya saing keusahawanan pengusaha.

Di samping itu, usaha penjenamaan secara kreatif dan bersepadu perlu dimulakan agar fabrik tenunan yang erupakan warisan Melayu mendapat tempat bukan sahaja di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini, tetapi juga berjaya di peringkat antarabangsa seperti yang diraih seni batik.

Kain Tenun Pahang bukan sahaja digunakan sebagai kain sarung, kain sampan, selendang dan juga dijahit untuk pakaian tradisional tetapi penghasilannya kini telah disesuaikan mengikut permintaan serta kegunaan pereka fesyen temoatan dan luar negeri untuk dipadankan pada majlis-majlis makan malam, adat istiadat Diraja, pakaian pengantin dan sebagainya.

Pada majlis perasmian Projek Tenunan Pahang yang disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada tahun 2006, baginda bertitah kain Tenun Pahang Diraja, sebagai kaedah untuk menjenamakan kain jenis berkenaan di peringkat tempatan dan luar negara.


Melalui penganugerahan itu, kain Tenun Pahang Diraja akan dicop dengan lambang baru bagi memperlihatkan kualiti dan mutu kain tenun negeri itu.

Memahami Kriteria Mati Otak

Bertaubatlah


Mati otak ialah ungkapan yang digunakan bagi menjelaskan keadaan seseorang yang seluruh otaknya tidak berfungsi dan tidak akan pulih lagi. Dalam keadaan sedemikian, tiada lagi perjalanan darah ke otak dan otak mulai reput. Pun begitu, jantung pesakit masih berdenyut kerana disambung kepada alat banntuan pernafasan. Sekiranya alat bantuan pernafasan itu dihentikan, pesakitv tidak boleh lagi bernafas dan jantung akan berhenti buat selama-lamanya dalam beberapa minit. Dalam hubungan ini, seseorang yang disahkan mati otak, keadaannya sama dengan mati sebagaimana yang dibincangkan oleh beberapa kumpulan penyelidik dari Perancis.

Dalam pada itu, tulisan Datuk Dr. Mohd Rani Jusoh yang bertajuk Mati Otak:Konsensus Pengamal Perubatan, melalui buku Sempadan Bioteknologi Menurut Perspektif Islam terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), menjelaskan, pada tahun 1966, hasil resolusi yang diperolehi melalui symposium di London, buat pertama kali menyatakan, dalam kes-kes cedera kepala, pengesahan mati boleh dibuat dengan memeriksa system saraf sekali gus merupakan satu langkah berani yang dibuat untuk pertama kalinya. Ini kerana pengesahan mati tersebut dibuat dengan tidak menggunakan cara asal, iaitu berdasarkan fungsi jantung dan pernafasan. Justeru, atas kekuatan rumusan tersebut, pemindahan jantung pertama dilakukan di Afrika Selatan pada tahun 1967 oleh Dr. C. Barnard.

Sementara itu, pakar-pakar perundangan Islam buat pertama kalinya membincangkan konsep mati otak di Persidangan Antarabangsa di Jeddah pada tahun 1985. Bagaimanapun tiada keputusan dibuat sehinggalah berlangsungnya persidangan di Amman, Jordan pada 1 Oktober 1986. Melalui persidangan tersebut, resolusi berkaitan mati otak dikeluarkan iaitu; seseorang disahkan mati dansegala urusan berkaitan dengan kehendak Islam perlu dilaksanakan apabila salah satu daripada dua perkara berikut berlaku:

1.       Apabila jantung serta pernafasan berhenti dan disahkan oleh doktor bahawa ia tidak dapat dipulihkan.
2.         Apabila semua fungsi otak telah berhenti, dan doctor yang mahir mengesahkan bahawa ia tidak dapat dipulihkan dan otak telah mula hancur. Dalam keadaan tersebut, mesin pernafasan boleh dimatikan walaupun organ lain misalnya jantung masih berfungsi.

Manakala Persidangan Akademi Fiqh Islam ke-19 pada 17 Oktober 1987 mengeluarkan resolusi iaitu, “Jika pesakit dipasangkan kepadanya mesin pernafasan telah dipastikan oleh tiga doctor pakar bahawa otaknya telah mati, dan tidak mungkin kembali berfungsi lagi, maka bolehlah mesin itu dimatikan, walaupun jantungnya dan pernafasannya masih berfungsi dengan kuasa mesin yang dipasang itu.”

Secara ringkasnya seseorang itu dikenal pasti sebagai mati otak adalah bersandarkan kepada beberapa perkara iaitu:

1.        Berada di dalam koma yang tidak boleh dipulihkan.
2.        Koma itu telah dikenal pasti disebabkan oleh kerosakan otak yang teruk, dan tidak boleh dipulihkan.
3.        Tidak bernafas sendiri, tetapi diberi bantuan pernafasan (ventilator)
5.        Semua rawatan sesuai telah pun diberikan.

Tidak ada perkara sampinga yang berlaku mungkin menganggu fungsi otak buat sementara waktu seperti;

1.         Penggunaan ubat sedatif
2.        Koma metabolic/endokrin akibat paras gula yang terlalu tinggi atau rendah di dalam     darah (diabetic   coma)
3.             Koma kerana hiportemia (suhu rendah)
4.          Koma kerana dipatuk ular
5.              Sindrom Gulllain Barre

Manakala bagi mengesahkan seseorang itu telah meninggal dunia, beberapa ujian terlebih dahulu dibuat oleh pakar perubatan. Di anara ciri-ciri seseorang itu telah meninggal dunia ialah:

1.          Tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan pernafasan (ventilator)
2.          Anak mata tidak memberikan sebarang tindak balas kepada cahaya
3.          Tiada tindak balas kepada batang otak (brainstem reflex)
4.          Ujian juga akan menunjukkan tiada pengedaran darah ke otak.

Oleh:  Nor Shamsinor Baharin

47 Nilai-nilai Murni ke Arah Pembentukan Masyarakat Minda Kelas Pertama

Budaya Kita

1.       Kepercayaan kepada Tuhan
2.       Kesetiaan kepada negara dan pemerintah
3.       Mematuhi undang-undang dan peraturan
4.       Keikhlasan diri
5.       Hormat-menghormati
6.       Kasih sayang
7.       Semangat kemasyarakatan
8.       Berpengetahuan
9.       Kebersihan fizikal dan mental
10.   Semangat kejiranan
11.   Semangat kerjasama
12.   Kesederhanaan
13.   Kesyukuran dan keredhaan
14.   Berdaya saing
15.   Menghargai masa
16.   Semangat hidup bermasyarakat
17.   Menghulur dan menerima kemaafan
18.   Displin diri
19.   Bertanggungjawab
20.   Amanah
21.   Adil
22.   Tolong menolong
23.   Bermuafakat
24.   Prihatin
25.   Sabar
26.   Bertimbang rasa
27.   Toleransi
28.   Bersimpati
29.   Merendah diri
30.   Bersungguh-sungguh
31.   Menghormati hak setiap individu
32.   Menyanyangi diri, keluarga, jiran dan masyarakat
33.   Suci hati
34.   Berfikiran positif
35.   Amalan baik
36.   Sedia berkorban untuk kebaikan bersama
37.   Berkongsi untung nasib
38.   Benar
39.   Berani
40.   Murah hati
41.   Yakin diri
42.   Berpada
43.   Berlemah lembut
44.   Berterus terang
45.   Bercita-cita tinggi
46.   Tidak mengambil hak orang lain
47.   Mencintai alam semulajadi

Sunday 10 August 2014

Nilai mahal budi bahasa

Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tuturkata, kelakuan, sopan santun, tatatertib, akal, kebijaksanaan dan pernuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata akhlak mulia.


                Tegasnya setiap gerak laku, tuturkata, tatahidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain sebagai peribadi mehupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.

                Konsep-konsep lain yang berkaitan dan melengkapkan nilai budi bahasa termasuklah mulia, adil, hormat, bijaksana, berani, setia, malu, sabar, sopan dan lain-lain.

                Kedua konsep di atas terangkum di dalam prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip ini jelas menekankan bahawa setiap warganegara harus menjaga tatasusila masing-masing dengan tidak menyinggung perasaan sesuatu golongan lain.

                Ini kerana tingkah laku sopan juga mengandungi satu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan peribadi dan dalam kehidupan bermasyarakat.

                Di atas nilai kesopanan dan kesusilaan inilah kita meneguhkan peribadi dan jatidiri bangsa Malaysia melalui nilai budi bahasa budaya kita.

                Umumnya, nilai-nilai murni yang diterima diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang merentasi individu, kekeluargaan, masyarakat dan kenegaraan adalah nilai-nilai sejagat yang dituntut agama, kepercayaan, adat resam dan kebudayaan.

                Antara nilai-nilai murni yang universal adalah amanah, tanggungjawab, ikhlas, benar, tekun, sederhana, berdisiplin, bekerjasam, berperibadi mulia, bersyukur, beretika, bermuafakat, bertoleransi, bertimbang rasa, bersatu-padu, tidak mementingkan diri dan tiada curiga.

                Budi bahasa sememangnya sikap murni yang dituntut oleh semua agama dan antara kata-kata hikmat berkaitan budi bahasa dapat dilihat menerusi petikan berikut:

                “Tidak ada api mahupun angin, hidup ataupun mati, dapat menghapus budi yang baik” – Buddha.

                “Untuk membentuk dunia pada aturannya, kita mesti membentuk bangsanya, untuk membentuk bangsa, kita mesti terlebih dahulu membentuk keluarga, kita mesti membentuk diri sendiri mempunyai hati yang murni” – Konfusius.

                Manakala dalam Al-Quran juga menekankan kepntingan nilai-nilai murni sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud:

                “... dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan analk-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran yang jauh. Dan rakann sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takbur dan membanggakan diri…”

                Melentur buluh biarlah dari rebung. Budi bahasa harus dipupuk dari peringkat institusi kekeluargaan dan secara berperingkat-peringkat dimantapkan di peringkat institusi masyarakat, pembelajaran dan perkhidmatan secara berterusan.

                Berbudi bahasa itu banyak nikmatnya. Tidak merugikan jika kita mengamalkan budi bahasa. Bak kata orang tua-tua: “Biar kita kurang harta benda, tetapi jangan sesekali miskin budi bahasa.”

                Malah peribahasa juga menyebut: “Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa, sendi bangsa adalah budi, runtuh budi, runtuhlah bangsa.”

                Jadikan Budi Bahasa Budaya Kita.

Oleh: Rajmah Hasan & Au Yeong How

SALAM : Pengucapan dan Penghayatan

Salam sejahtera
Ucapan salam amat mudah disebut, tetapi tidak ramai yang memahami maksud dan tujuan serta kelebihannya. Oleh itu, tidak ramai yang berminat untuk mengucapkannya, malahan berlaku kesilapan ketika mengucapkannya. Salam beerti selamat atau sejahtera. Dari segi memuliakan atau menghormati sesama Islam.

Ucapkan salam apabila bertemu sesama Islam dan dilarang sama sekali untuk memeberi salam kepada orang-orang bukan Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“ Janganlah kamu memulakan dengan ucapan salam kepada orang-orang Yahudi dan juga orang-orang Nasrani.” (Hadis diriwayatkan oleh Muslim,Ahmad,Abu Daud dan At-Tarmizi daripada Abu Hurairah)

Ucapan salam hanya dikhususkan sesama Islam kerana masyarakat lain mempunyai cara tersendiri untuk menghormati sesama mereka. Orang Kristian (Nasrani) sebagai contoh, menghormati dengan cara meletakkan tangan di atas mulut. Orang Yahudi pula memberikan isyarat dengan menggoyang-goyangkan jejari tangannya, manakala masyarakat Majusi pula menundukkan kepala. Cara penghormatan dalam kalangan masyarakat jahiliah adalah dengan menyebut “Semoga Tuhan menghidupkan kamu.”

Ucapan salam yang sebenarnya adalah seperti yang disebut di dalam Kitab Tafsir An-Naisaburi iaitu tanpa perlu menokok tambah sesuatu yang lain daripadanya. Di dalam Kitab Majmuk pula, ucapan salam yang paling sempurna adalah seperti yang disyariatkan dalam bacaan tahiyat. Alas an ini diguna pakai oleh pihak yang berpendapat bahawa menjadi kesalahan dari segi sebutan bahkan dari segi hokum jika ditambah dengan kalimah.

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa memberikan salam adalah sunat tetapi menjawabnya wajib, berpandukan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami daripada Abdullah bin Asy-Syukhair yang bermaksud:

“Ucap salam itu adalah sunat, manakala menjawabnya adalah wajib.”

Oleh itu, memberikan salam adalah lebih baik daripada menjawab salam. Inilah satu-satunya dalam syariat Islam iaitu perkara yang dihukum sebagai sunat tetapi dianggap lebih baik daripada yang wajib. Oleh itu, kita digalakkan supaya mendahulukan ucapan salam.

Salam boleh diucapkan pada bila-bila masa dan tanpa mengira tempat. Cuma dalam keadaan tertentu, ucapan salam digalakkan ketika bertemu sesame Islam sama ada dikenali ataupun tidak, lebih-lebih lagi orang itu adalah musuhnya. Nabi bersabda dalam senuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umru yang bermaksud:

“ Ucaplah salam kepada orang yang kamu kenali dan juga orang yang kamu tidak kenali.”

Ucapkan salam ketika hendak memulakan kuliah agama, ceramah, tazkirah, ucapann dan seumpamanya. Dahulukan ucapan salam sebelum mengemukakan soalan kepada orang tertentu. Sabda Nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibni An-Najjar daripada Ummar yang bermaksud:

“ Salam sebelum bertanya, barang siapa mengemukakan soalan tanpa terlebih dahulu memberi salam maka soalannya tidak perlu dijawab.”

Apabila kita bertandang ke rumah orang, jangan sesekali masuk tanpa memberikan salam sebagai tanda meminta izin. Jika salam dijawab, bererti tuan rumah mengizinkan kita masuk ke dalam rumahnya. Allah berfirman dalam Surah an-Nur ayat 27 bermaksud:

“ Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu melainkan setelah kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya ...”

Mengikut ulama, larangan ini adalah larangan tahrim, iaitu haram hukumnya jika memasuki rumah orang tanpa mendapatkan keizinan dan memberikan salam kepada tuannya. Sekiranya tiga kali memberikan salam tanpa mendapat sebarang jawapan, maka haram bagi kita memasuki rumah tersebut, bahkan wajib kita meninggalkan rumah itu. Begitu juga apabila kita kembali ke rumah sendiri dan setelah memasuki rumah, maka hendaklah kita memberikan salam.


Hukum menjawab salam adalah wajib. Oleh itu, ucapan salam hendaklah dijawab dengan cara lebih baik dan sempurna. Salam merupakan antara ucapan atau pertuturan yang kekal sehingga hari akhirat dan akan terus diucapkan oleh ahli syurga. Semoga pedoman ini menjadi renungan untuk kita menilai diri sendiri, khususnya dalam menyampaikan ucapan salam atau menjawab salam. 

Oleh: Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz